Oleh ZUARIDA MOHYIN
Ibadat korban bermaksud, penyembelihan binatang ternakan yang terdiri daripada unta, lembu, kambing dan seumpamanya, pada hari raya korban, iaitu 10 Zulhijjah sehingga gelincir matahari pada hari akhir tashriq, iaitu 13 Zulhijjah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Berikan beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menerangkan tentang kelebihan mereka yang melaksanakan ibadah korban?
Hakikatnya terdapat beberapa ayat al-Quran dan hadis berkaitan permintaan di atas. Namun di sini, saya akan sediakan beberapa yang popular. Kelebihan hari raya Aidiladha dan ibadat korban ada disebut di dalam al-Quran dan sunah. Antaranya firman Allah s.w.t. dalam surah al-Kauthar ayat 2 yang bermaksud: Bersembahyanglah olehmu wahai Muhammad dan sembelihlah olehmu.
Solat di sini bermaksud, solat hari raya dan apabila Allah s.w.t. menyuruh melaksanakannya sudah tentu terdapat padanya kelebihan dan fadhilat yang amat besar.
Sembelih di sini bermaksud, ibadat korban. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Hajj ayat 34 yang maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan korban sampai mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka.
Selain itu juga, Rasulullah s.a.w. juga ada menyatakan tentang kelebihan ibadat korban dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah dari menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada Hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu meng
ambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih.
Apakah perkara-perkara yang sunat dilakukan pada hari raya korban?
Menyentuh perkara-perkara yang sunat dilakukan pada hari raya korban, apa sahaja yang disunatkan pada Hari Raya Aidilfitri juga disunatkan pada Hari Raya Korban. Di antaranya;
1) Kita disunat solat hari raya dan mendengar khutbah seperti mana pada Hari Raya Aidilfitri. Menurut Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, Fatawa Mu'asirah, Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, melakukan solat di tempat yang terbuka seperti di padang atau di tempat-tempat yang luas dengan tujuan untuk memperlihatkan syiar Islam dan kekuatan umatnya.
Berdasarkan pada hadis solat di padang dan seumpamanya, adalah lebih afdal berbanding di masjid, sekalipun masjid mampu menampung bilangan jemaah yang ramai melainkan dalam cuaca yang tidak menentu.
2)Disunatkan juga memperbanyakkan takbir dan tahmid dan berpakaian baru dengan tujuan untuk menzahirkan nikmat Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. telah bersabda dalam hadis diriwayatkan oleh al-Baihaqi yang bermaksud: Sesungguhnya Allah s.w.t. sangat suka melihat hasil nikmat yang dikurniakan ke atas hamba-Nya (iaitu memakai pakaian indah pada hari raya.
3) Di samping itu juga, disunat berwuduk dan mandi sunat hari raya sebelum menunaikan solat sunat hari raya serta saling menziarahi dan menghubungkan silaturahim di antara satu sama lain, terutama sekali menziarahi kedua ibu bapa, saudara mara, sahabat handai dan lain-lain lagi.
4) Kita juga disunatkan untuk melaksanakan ibadat korban sekiranya mampu untuk berbuat demikian.
Oleh itu, bagaimanakah seharusnya Hari Raya Korban itu disambut dan dibesarkan agar tidak bercanggah atau bertentangan dengan ajaran Islam?
Tidak dinafikan bahawa masyarakat hari ini tidak menyambut Hari Raya Korban menurut ajaran Islam seperti pergaulan bebas. Oleh itu, bagi memastikan cara menyambut hari raya ini tidak bercanggah dengan ajaran Islam, maka hari kebesaran ini perlu dirayakan menurut acuan yang telah ditetapkan oleh syarak.
Misalnya, Islam amat menggalakkan saling menziarahi sesama Islam, namun bukannya dengan cara pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram.
Selain itu, Islam amat menggalakkan berpakaian baru, namun bukannya sampai mengakibatkan pembaziran dan paling mengharukan, perlaksanaan ibadat korban tidak sampai kepada objektifnya yang dikehendaki oleh Islam.
Misalnya mereka yang melaksanakan korban disunatkan memakan hanya sedikit daripada daging
korban dan selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin.
Namun, apa yang berlaku hari ini, adalah sebaliknya. Keadaan ini adalah disebabkan kejahilan masyarakat tentang hukum agama, khususnya hukum ibadat korban.
Hari raya korban begitu sinonim dengan makna pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim. Bagaimanakah nilai pengorbanan ini boleh disesuaikan dengan suasana yang berlaku pada masa ini sama ada, dalam apa juga aspek kehidupan.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Hari Raya Korban yang bakal kita raikan mengandungi rahsia yang amat hebat sekali yang dapat dijadikan pedoman hidup kita.
Pengajaran
Pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail banyak telah memberi pengajaran kepada kita dalam pelbagai aspek kehidupan antaranya;
Mengambil iktibar dan pengajaran terhadap ketaatan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail tanpa menghiraukan cercaan dan penghinaan, demi mematuhi perintah Tuhannya.
Oleh itu, untuk melakukan sesuatu yang baik tidak semestinya akan ditaburkan dengan pujian, kadangkala ia akan dihamburkan dengan penghinaan dan cercaan.
Lantas ujian inilah terpaksa dilalui oleh mereka yang inginkan kebenaran. Begitu juga untuk berdakwah kepada agama Allah, kesabaran merupakan suatu perkara yang amat penting.
Hasil dari peristiwan Nabi Ibrahim dan anaknya ini juga, Allah s.w.t. telah mensyariatkan ibadat korban. Dan dalam ibadat korban mengandungi berbagai-bagai hikmah di antaranya, memupuk sikap keprihatinan terhadap masyarakat, iaitu dengan mengagihkan daging-daging korban kepada yang berhak menerimanya seperti fakir miskin dan seumpamanya
Selain itu peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dapat menyemai sifat murni di dalam diri dengan mencontohi kesabaran dan ketabahan serta sifat mereka yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah s.w.t.
Ini kerana, ujian yang diturunkan oleh Allah s.w.t. terhadap hamba-hamba-Nya adalah berdasarkan darjat keimanan mereka. Allah s.w.t. tidak akan menguji hamba-Nya melampaui keimanan yang ada.
Sekiranya kita merasakan ujian yang kita terima hari ini adalah berat, sebenarnya ujian tersebut tidak sehebat ujian yang diterima oleh Nabi Ibarahim dan anaknya Ismail.
Selain tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi, kita dituntut supaya membangunkan diri, keluarga dan umat. Demikian juga kita dituntut untuk membangun kampung halaman, tempat kita tinggal dan mencari penghidupan, seterusnya membangun tanah air atau negara kita yang tercinta sesuai dengan peranan dan kemampuan
masing-masing, berpandu kepada syariat Allah yang bersumberkan al-Quran dan sunah.
Perbezaan ibadah korban dan akikah. Terangkan kerana seringkali timbul kekeliruan tentang dua ibadat ini?
Terdapat beberapa kekeliruan yang sering kali timbul antara ibadat korban dengan akikah, khususnya dalam kes menggabungkan niat korban dan akikah secara serentak. Misalnya, seseorang itu berniat korban dan akikah serentak atas seekor kambing.
Menurut Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Fatawa al-Kubra dan dalam kitab Tuhfah: ''Jika seseorang itu berniat ibadat korban dan akikah atas seekor kambing serentak, maka kedua-duanya dianggap sebagai batal.
Ini kerana korban dan akikah mengandungi makna sunat yang tersendiri. Selain itu juga, korban bertujuan untuk membersihkan diri mereka yang melakukan dosa, manakala, akikah dilaksanakan disebabkan kelahiran.
Boleh dikatakan akikah dan korban mempunyai matlamat dan hikmah yang tersendiri, maka sudah tentulah niat perlu diasingkan di antara satu sama lain.