KISAH Saidina Umar yang berdepan dengan adiknya, Fatimah yang telah memeluk Islam yang dikira sebagai satu penghinaan kepadanya amat diketahui umum.
Namun sebelum itu, dikisahkan bahawa Umar telah ditegur oleh lelaki dari Bani Zuhrah atau Makhzum, bernama Nu'aym bin Abdullah yang memecahkan rahsia mengenai adiknya yang telah memeluk Islam itu.
Dalam sesetengah riwayat yang lain, dikatakan Nu'aym sebenarnya terdiri dari kalangan kafir Quraisy, bukan yang telah memeluk Islam seperti yang disebutkan sebelum ini.
Maka Nu'aym bertujuan menyindir Umar mengenai Fatimah yang memeluk Islam ketika Umar tergesa-gesa dan beria-ia hendak membunuh Nabi Muhammad. Apapun niat sebenar Nu'aym itu, menyebabkan Umar mengamuk setiba di rumah adiknya itu.
Umum mengetahui bahawa Fatimah dan suaminya Saad adalah kalangan yang terawal memeluk Islam malah dikatakan kekuatan iman suaminya itu antara 10 orang yang dijamin memasuki syurga.
Ketika Umar sampai ke rumah adiknya itu, beliau terdengar suara yang sedang membaca al-Quran. Iaitu Fatimah dan suaminya sedang belajar membaca al-Quran dengan dibantu oleh seorang sahabat mereka, Khabbab bin Arat.
Khabbab dikatakan dihantar sendiri oleh Nabi Muhammad untuk membantu atau mengajar Fatimah dan Saad membaca al-Quran.
Apabila terdengar mereka membaca al-Quran, kemarahan Umar tidak boleh ditahan-tahan lagi lalu dia mengamuk di hadapan pintu rumah Fatimah.
Semua yang ada dalam rumah itu begitu terkejut dan wajah masing-masing pucat lesi. Namun Fatimah dengan segera menyembunyikan Khabbab dan membuka pintu untuk menghadapi apa juga kemungkinan yang akan berlaku apatah lagi abangnya itu terkenal dengan sikap kejam, tegas dan garang tanpa mengira sesiapa.
Tanpa banyak soal Umar terus bertanya kepada Fatimah: "Apa yang aku dengar tadi?"
"Tidak ada apa-apa!" Kata Fatimah dengan wajah yang agak selamba.
"Aku telah mendengar tadi, jangan bohong! Adakah bacaan yang aku dengar tadi adalah dari Muhammad?" Bentak Umar.
Adik dan ipar Umar menjadi serba salah untuk menjawab.
Lalu Umar bertanya terus kepada iparnya: "Adakah kalian sudah murtad?"
Tanpa sebarang ragu-ragu Saad pun menjawab dengan tenang: "Kami tidak murtad wahai Umar tetapi kami semua telah masuk Islam."
Belum sempat Saad menyudahkan kata-katanya itu, satu tamparan yang kuat telah singgah ke mukanya sehingga berdarah hidung suami Fatimah itu.
Malah dalam sesetengah riwayat yang lain, Umar bukan sahaja menampar adik iparnya itu malah diterkamnya Saad lalu dihenyak-henyak dengan kakinya sehingga berdarah-darah.
Melihat suaminya teruk dicederakan Umar, Fatimah pun cuba menghalang abangnya itu daripada terus mencederakan Saad. Ini menyebabkan Umar bertambah marah malah adik kesayangannya itu turut menjadi mangsa.
Fatimah juga menurut riwayat Ibnu Ishaq telah teruk dipukul oleh abangnya sehingga cedera dan berdarah. Kejadian teruk dipukul oleh Umar ini menyebabkan Fatimah menangis, bukan kerana menanggung kesakitan tetapi sedih mengenai sikap abangnya itu yang begitu kuat memusuhi Islam.
Sehinggakan adik dan ipar sendiri sanggup dipukul malah dibunuh jika tidak menjadi halangan.
Tangisan Fatimah itu akhirnya menyebabkan hati Umar bertukar menjadi sayu, lembut dan simpati terhadap adiknya itu.
Lalu Umar berkata: "Baiklah, tunjukkan kepada aku helaian yang kamu baca tadi!"
Tetapi Fatimah berkeras tidak mahu menyerahkan helaian-helaian yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran kerana akan diapa-apakan oleh Umar.
Ini menyebabkan Umar terpaksa bersumpah: "Demi Latta dan Uzza, aku tidak akan buat sesuatu yang tidak baik terhadap apa yang kamu baca sebentar tadi!"
Apabila Fatimah melihat Umar semakin lembut, dia pun akhirnya terpaksa berterus terang kepada abangnya itu: "Wahai saudaraku, helaian ini merupakan kata-kata Allah. Oleh kerana engkau bukan kalangan dari orang Islam malah seorang yang masih syirik sedangkan syirik itu merupakan najis.
"Kalau benar engkau hendak membacanya maka hendaklah kamu mandi terlebih dahulu kemudian barulah engkau boleh membacanya."
Oleh kerana Umar begitu tertarik untuk membaca apa yang telah dibacakan oleh adiknya itu, lalu Umar menuruti sahaja permintaan adiknya itu. Beliau segera mandi membersihkan diri dan bersiap sedia untuk membaca surah-surah al-Quran itu.
Umar yang tidak lagi menunjukkan sikap untuk terus berseteru kemudian diberikan satu helaian yang mengandungi sebahagian dari surah al-Taha. Iaitu ayat 14 yang bermaksud: Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingatiku.
Sejurus membaca ayat itu, Umar pun berkata: "Tidak sepatutnya yang empunya kata-kata ini disekutui. Alangkah indah dan mulianya kata-kata ini."
Umar yang telah bertukar nada 360 darjah itu kemudiannya meminta untuk berjumpa sendiri dengan Rasulullah. Khabbab yang sedari tadi menyorok di rumah Fatimah itu pun keluar dan menawarkan diri untuk membawa Umar bertemu Nabi Muhammad.
"Terimalah berita gembira wahai Umar, sesungguhnya aku sentiasa mengharapkan doa Rasulullah agar engkau memilih jalan Islam akan menjadi satu kenyataan juga akhirnya," kata Khabbab.
Lalu mereka menuju ke Darul Arqam, rumah milik seorang lagi sahabat, iaitu Al Arqam bin Abi Arqam yang menawarkan kediamannya sebagai pusat pengajian mengenai Islam yang diketuai dan dipimpin oleh Rasulullah.
Masih berpakaian baju perang lengkap pedang tersisip di pinggang, Umar dan Khabbab pun tiba di Darul Arqam yang dikatakan terletak agak tersorok di lereng Bukit Safa yang ketika itu telah tersebar berita mengenai baginda bakal diserang atau dibunuh oleh Umar.
Bersiap sedia
Sebaik sahaja tiba, Umar pun mengetuk pintu dan menyatakan hajat untuk menemui Rasulullah.
Serentak itu juga, Hamzah bangun dan cuba untuk menghunuskan senjata.
"Biar aku yang bunuh Umar ini dengan pedangku ini," tegas Hamzah.
Hamzah merupakan satu-satunya lawan atau seteru yang dikatakan boleh mengalahkan Umar walaupun di seluruh kota Mekah, Umar dikatakan seorang yang sangat gagah dan perkasa.
Seperti yang kita selalu baca sebelum ini ketokohan dan kegagahan Hamzah tiada tolok banding malah sanggup menggadaikan nyawa sehingga terkorban demi mempertahankan Islam. Tidak sekadar Nabi Muhammad itu merupakan anak saudaranya.
Namun baginda meminta supaya Hamzah tidak bertindak melulu sehinggalah baginda sendiri membuka pintu dan mempersilakan Umar masuk.
Hamzah terpaksa patuh dan masing-masing seperti menahan nafas apabila Nabi Muhammad memberanikan diri membuka pintu tanpa sebarang pengawal kerana mereka tahu Umar seorang yang sanggup melakukan apa sahaja, menurut nafsu dan amarahnya itu.
Sebaik sahaja Umar melangkah masuk dengan perawakannya yang gagah itu, beliau terus mendekati Nabi Muhammad. Lalu baginda terus memegang hujung baju Umar dan disentapnya dengan kuat sehingga Umar jatuh terduduk di hadapan Rasulullah.
Sambil duduk berhadapan dan bertentang mata dengan Umar, baginda pun bertanya: "Bila lagi kamu hendak menerima Islam wahai Ibnu Al Khattab? Adakah kamu hendak menunggu sehingga ditimpa bala dan ancaman dari Allah? Sebagaimana yang menimpa Al Walid bin al Mughirah? Ya Allah, inilah Umar bin Al Khattab, Ya Allah muliakan Islam dengan Umar bin al Khattab ini!"
Tanpa sebarang banyak pertanyaan apatah lagi cuba melawan lalu Umar pun melafazkan kata-kata yang sangat mengejutkan semua pihak.
"Aku menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan engkau Muhammad adalah Rasulullah!"
Betapa bersyukur seluruh alam apabila Umar yang keras bak batu itu akhirnya tunduk kepada keesaan Allah.
Pengislaman Umar itu tentunya menimbulkan pelbagai reaksi selain begitu mengejutkan orang ramai.
Ikuti keluaran akan datang, bagaimana pengislaman Umar itu memberikan impak yang sangat besar terhadap perkembangan Islam itu sendiri.
Sebelum itu, ingin mengenali Umar dengan lebih dekat lagi?
Seperti yang dipetik dari buku Sejarah Khalifah Rasulullah karya Prof. Dr. Amin Qudah (Terbitan PTS 2009) Umar seperti yang diceritakan sendiri oleh anaknya Abdullah.
"Beliau seorang lelaki yang berkulit putih kemerah-merahan, tinggi dan botak kepalanya. Seorang yang sangat berbadan besar, apabila dilihat pada ketinggiannya itu seakan-akan nampak seperti orang yang sedang menaiki kenderaan. Bapa seorang yang kidal dan mempunyai suara yang kuat dengan kewibawaan yang sungguh jelas dan ketara".