Mummy masak banyak lauk – Anak mangsa
|
|
IPOH 21 Mei – ‘‘Pagi semalam, saya hairan lihat mummy masak banyak lauk untuk hidangan tengah hari sedangkan waktu makan masih lambat.
‘‘Rupa-rupanya mummy ingin saya dan adik-adik menikmati sepuas-puasnya masakannya buat kali terakhir,” kata Aizat Addreen Jafri, 17, dalam nada sebak ketika ditanya kenangan terakhir bersama ibu tercinta.
Aizat Addreen merupakan anak sulung kepada Wah Yah Matzi iaitu pengusaha salon yang mati ditikam oleh seorang penagih dadah yang merompak rumahnya di Taman Pinji Seni di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 2.45 petang itu, anak bongsu Wah Yah berusia lima tahun, Ermin Denish dan pembantu rumahnya dikenali sebagai ‘Dani’ turut mati ditikam.
Aizat Addreen yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara di sini hari ini memberitahu, ibunya yang sudah lama tidak memasak kerana kesibukan kerja tiba-tiba menyediakan empat jenis lauk untuk hidangan tengah hari yang menyelerakan pada awal pagi semalam.
Katanya, sebahagian makanan itu kemudian dihantar ke salon di pusat perniagaan Greentown Mall di sini untuk dinikmati oleh para pekerja ibunya di situ.
‘‘Selepas menghantar makanan, mummy pulang semula ke rumah untuk mengambil telefon bimbitnya yang tertinggal manakala saya pula tiada di rumah kerana menghantar adik ke sekolah,” katanya yang sudah berhenti sekolah dan bekerja membantu ibunya di salon.
Aizat Addreen berkata, dia hanya mengetahui ibu, adik dan pembantu rumah mereka mati dibunuh apabila dihubungi melalui telefon oleh seorang rakan bapanya.
Sementara itu, jenazah Wah Yah dan Ermin Denish selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara pada pukul 10.50 pagi ini.
Suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan apabila suami Allahyarham, Jafri Tajol Aripin, 47, Aizat Addreen dan dua adiknya, Nur Safura, 13, dan Nur Afini, 10, masing-masing gagal menahan air mata tatkala melihat kedua-dua jenazah diturunkan ke liang lahad.
PILU SEORANG BAPA, SUAMI
|
|
Kedua-dua beranak itu dan pembantu rumahnya warga Indonesia, Dani Miasih, 21, mati dibunuh oleh seorang perompak yang dipercayai penagih dadah di Taman Pinji Seni, kelmarin.
0 comments:
Post a Comment