SAPA BAPA BAYI NI????
KANGAR: Bayi perempuan yang ditemui dalam laci almari di rumah pengawai kanan polis di Taman Fauziah di sini kelmarin adalah anak pembantu rumah pegawai wanita berkenaan.
Pegawai kanan polis itu yang enggan namanya disiarkan, berkata pembantu rumah rakyat Indonesia terbabit telah mengaku bayi berkenaan adalah miliknya.
Walaupun sebelum ini menafikan berkali-kali, pembantu rumah berusia 22 tahun itu akhirnya mengakui bayi berkenaan adalah anaknya selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), kata pegawai kanan polis itu.
Kira-kira pukul 9.30 pagi kelmarin, pegawai kanan polis berusia dalam lingkungan 30an yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis itu menemui seorang bayi perempuan di dalam laci almari yang digunakan oleh pembantu rumahnya.
Ketika menyoal pembantu rumahnya itu, pegawai berkenaan diberitahu bayi itu ditemui di dalam tong sampah berhampiran rumahnya pada kira-kira pukul 6 pagi Jumaat lepas dan pembantu rumahnya membawa bayi itu pulang untuk dijaga.
Beliau berkata, pembantu rumah itu sudah bekerja di rumahnya lebih dua tahun lepas dan beliau tidak pernah melihat sebarang kelainan pada pembantu rumahnya yang mempunyai bentuk badan yang agak kecil itu.
"Dia dikatakan mengandung berikutan menjalin hubungan dengan seorang lelaki yang juga rakyat Indonesia," katanya.
Ketua Polis Daerah Kangar Supt Yusof Mohd Diah enggan mengulas mengenai perkara itu dan berkata ia masih dalam siasatan.
Yusof berkata, pihaknya akan mengambil keterangan lanjut daripada pembantu rumah berkenaan apabila kesihatannya mengizinkan dan polis juga akan memanggil majikan wanita rakyat Indonesia itu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.BERNAMA
0 comments:
Post a Comment